Friday, November 7, 2014

Sesi Menambah Ilmu

Lebih setahun aku tidak menulis di ruang maya ini dan terasa begitu pantas sekali masa berlalu. Tahun ini amat mencabar bagiku kerana terlalu banyak peristiwa yang ku alami yang membawa pelbagai rencah rasa pahit, manis, masam dan tawar. Aku sedar bahawa semua yang berlaku adalah atas kehendakNya jua dan aku yakin pasti ada hikmah yang terselit di sebalik ujian yang diberi. Syukur alhamdulillah ku panjatkan kepadaMu ya Allah atas setiap nikmat dan rezeki yang Engkau limpahkan ke atas diri ini.  

Menulis sambil mata menghadap televisyen kerana menonton rancangan kegemaran iaitu Iron Chef Amerika iaitu pertarungan memasak antara chef yang berbakat menentang Iron Chef yang hebat. Perkara yang paling aku  gemari ialah betapa tingginya kreativiti serta inovasi kedua-dua pesaing dalam menghasilkan hidangan yang berbeza walhal menggunakan bahan asas yang sama. Aku amat berharap situasi yang sama juga turut berlaku dalam kalangan guru-guru yang ku bimbing kerana asasnya sudah mereka miliki, dan sekarang hanya tinggal menggilap semula kemahiran tersebut untuk mereka bersinar kembali. Aku yakin mereka juga sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dengan menampilkan kreativiti dan mula melangkah ke arah inovasi dengan bantuan serta kolaboratif dalam kalangan guru dan mentor.